Monday 9 July 2018

LUKISAN RINDU

Aku percaya tiap sesuatu yang Tuhan hadiahkan buat kita, ia mampu mengubah kita. Kalau tidak banyak, mungkin sedikit ia bisa menggoyah atau menjentik kita. Perubahan yang bagaimana? Lebih baik atau sebaliknya? Terserah pada kita. Bagaimana kita mentafsirkan dan menerima hadiah itu.

Dan aku juga percaya cinta mampu mengubah seseorang. Oh jangan bertanya tentang konsep cinta kerana aku bukan doktornya. Serahkan saja pada doktornya. Boleh jadi engkau sendiri adalah doktornya. Cuma, apa yang aku tahu cinta itu bitara. Kerana kebitaraannya, cinta itu mengubah aku.

Kira-kira 12 tahun yang lalu, Tuhan menghadiahkan aku dan keluargaku satu amanah. Kami juga memanggilnya anugerah. Anugerah terindah. Setelah 49 hari, ternyata Tuhan lebih menyayanginya. Kembalinya dia kepada Pencipta itu sebenarnya adalah luka dan cinta buat kami.

Pemergiannya adalah satu titik permulaan aku belajar menjadi kuat. Ayah cakap aku kena kuat, aku tak boleh nangis, aku kena menjadi kekuatan untuk ibu. Jadi, aku cuma mengerti bahawa kuat itu adalah tidak menangis. Ibu tak kuat, maka aku harus kuat agar aku bisa jadi kekuatan ibu. Akhirnya, aku berjaya menjadi kuat pada waktu itu. Aku fikir akulah yang paling kuat, ternyata aku silap. Ada seseorang yang lebih kuat daripada aku.

Ayah. Ayah lah yang menguruskan semuanya. Aku lihat riak wajah ayah sangat tenang. Dan sebenarnya sebahagian kekuatan aku datangnya daripada ayah.

Malam itu, aku terjaga daripada lena. Aku lihat ada satu susuk tubuh manusia. Di tikar sejadah, dia berdoa mengadu kesedihannya kepada Tuhan. Aku leka memerhatikannya. Tanpa aku sedari, aku turut ikut menangis bersamanya. Itulah ayah. Dukanya disimpan sendiri, sedihnya dikongsi bersama Ilahi.

Bukan itu sahaja, aku juga pernah terjumpa puisi nukilan ayah buat anugerah terindah. Mungkin itu adalah cara lain ayah melontarkan apa yang terpendam di jiwanya.

Luka pemergiannya bisa bertukar menjadi cinta. Kerana cintakannya, kami redha. Kerana cintakannya, kami percaya itu adalah hadiah terindah daripada Tuhan buat kami. Kerana hadiah itu, kami lebih dekat kepada Tuhan.

Aku percaya dia cuma pergi dulu dan tunggu kami di sana. Bukan pergi dan tinggalkan kami untuk selamanya. Dia masih ada bersama kami, cuma tiada di depan mata kami.

Perca kenangan dan bait rindu untuk adindaku,
Nurul Nazzieha Azhar
(19102006-08122006)

Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment